Monday, February 23, 2015

ETIKA MENYAMBUT TAHUN BARU CINA

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين و على آله وصحبه اجمعين. أما بعد:

9 ETIKA MENYAMBUT PERAYAAN TAHUN BARU CINA.

Pada hari ini kaum Cina, Sama ada yang Islam dan bukan Islam tengah menyambut perayaan Tahun Baru Cina. Pada TAZKIRAH hari ini,  USM ingin membincangkan sedikit garis panduan tentang perayaan tahun baru cina tersebut yang mungkin umat Islam ikut meraikannya. 

Satu persoalan yang timbul pada kita orang yang beragama islam. Bolehkah kita orang Islam meraikan sambutan tahun baru Cina tersebut.??

Dalam hal ini yang perlu difahami terlebih dahulu adalah tentang PERAYAAN agama lain dalam  pandangan Islam terbahagi kepada dua bahagian:
1. Perayaan yang berkaitan dengan ajaran agama tersebut.
2. Perayaan yang tidak berkaitan dengan ajaran agama tersebut (hanya adat dan budaya sahaja).

Tahun baru Cina adalah perayaan yang di sambut setiap tahun oleh seluruh kaum Cina, baik yang  beragama Islam ataupun bukan beragama islam.  Kerana tahun baru Cina merupakan Tradisi masyarakat cina.

Satu persoalan yang  timbul adalah?? Bolehkah kita umat islam turut sama meraikan perayaan Tahun Baru Cina tersebut??

Secara umumnya, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-78 yang bersidang pada 12 Jun 2007 telah memutuskan bahawa Apa jua amalan atau perlakuan orang Islam dalam hal-hal yang berkaitan dengan perayaan orang bukan Islam dalam bentuk yang dilakukan oleh orang-orang bukan Islam sendiri seperti mengunjungi rumah-rumah ibadah, memakai pakaian yang ada simbol agama mereka dan seumpamanya adalah diharamkan dan dilarang . Ini kerana dengan berbuat demikian bererti wujud tanda-tanda redha kepada kekufuran, sedangkan redha kepada kekufuran adalah diharamkan dan dilarang dalam ajaran Islam.

Satu persoalan yang timbul lagi adalah Bolehkah orang Islam menghadiri rumah terbuka sempena sambutan Tahun Baru Cina?

Adat  dan Budaya masyarakat Malaysia Hari ini boleh dikatakan sudah menjadi kebiasaan penganut agama yang ada di negara kita, terutama sekali pemimpin negara, mengadakan rumah terbuka, sempena hari raya mereka dan menerima berbagai-bagai tetamu yang hadir pada hari itu, yang terdiri daripada berbagai-bagai latar belakang agama. Malah orang-orang Islam juga mengadakan rumah terbuka dan menerima tetamu dari kalangan bukan Islam, yang turut menjamu selera dan sebagainya. Ini menggambarkan semangat toleransi, kerjasama dan perpaduan erat yang berlaku di kalangan masyarakat di negara ini.

Dalam persoalan  ini Pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM )mengharuskan warga negara beragama Islam mengunjungi perayaan yang diadakan oleh warga negara bukan beragama Islam di Malaysia, bersempena dengan perayaan tahun baru Cina kali ini,  dalam pada masa yang sama JAKIM mengeluarkan beberapa kriteria utama yang perlu dijadikan garis panduan oleh warga negara beragama Islam supaya sambutan tersebut tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Adapun Kriteria-kriteria tersebut adalah seperti berikut

1. Kehadiran di dalam perayaan itu, tidak  menggadai akidah dan maruah diri sebagai  seorang Islam.

2. Perayaan itu tidak diadakan di rumah-rumah ibadah atau berhampiran dengan rumah ibadah.

3. Kehadiran pada perayaan tersebut sebagai meraikan hubungan sosial seperti jiran tetangga, rakan sekerja dan seumpamanya. Orang Islam yang mengunjunginya pula sudah biasa pergi ke rumah rakan-rakan bukan Islam itu. Jika tidak pernah pergi, sebaliknya hanya berbuat demikian pada hari orang bukan Islam mengadakan majlis rumah terbuka, makruh menghadirinya. Mengekalkan hubungan baik antara orang Islam dengan bukan Islam, di samping mewujudkan situasi harmoni, damai dan sejahtera,  antara nilai-nilai murni yang dianjurkan oleh Islam.

4. Tidak ada unsur membesarkan agama atau upacara agama orang bukan Islam yang mengadakan  perayaan tersebut.

5. Tidak ada unsur kemaksiatan dan kemungkaran secara zahir
seperti hidangan minuman keras, nyanyian yang melalaikan, mengganggu syiar ibadah orang Islam dan seumpamanya.

6. Tidak ada unsur atau elemen penghinaan terhadap nabi Muhammad SAW, kitab suci al-Qur’an dan seumpamanya.

7. Tidak terdapat upacara agama mereka di dalam majlis tersebut, sebaliknya semata-mata jamuan makan biasa sahaja.

8. Tidak membawa hadiah untuk diberikan kepada mereka pada hari itu yang bertujuan untuk membesarkan agama mereka seperti santa clause, melainkan hadiah itu hanya sebagai tanda ingatan kepada peserta yang datang.  berlainan dengan hadiah yang dibawa di dalam majlis perkahwinan, kelahiran anak, isteri sakit dan sebagainya, yang tidak ada unsur membesarkan agama mereka.

9. Perayaan itu diadakan oleh orang-orang bukan Islam  itu sendiri dan bukannya diadakan oleh pemimpin negara yang beragama Islam, kerana pemimpin Islam dikehendaki bertoleransi dengan rakyat bukan Islam, namun tidak boleh sampai ke tahap menganjurkan majlis rumah terbuka itu sendiri, kerana mengandungi unsur menzahirkan agama bukan Islam di dalam negara Islam. Jika ingin juga diadakan rumah terbuka, hendaklah dibuat tidak bersempena dengan perayaan agama-agama bukan Islam, sebaliknya dipilih hari-hari lain dan diletakkan nama yang sesuai dengannya seperti jamuan rakyat berbagai kaum dan sebagainya.

Jika syarat-syarat di atas tidak wujud, sewajarnya kita tidak menghadiri perayaan mereka, sebagai mengambil langkah berhati-hati ke arah menutup pintu yang boleh membawa fitnah kepada keruntuhan akidah umat Islam.

Kesimpulannya:
Warga negara beragama Islam diharamkan dan dilarang sama sekali merayakan perayaan bukan Islam sama sebagaimana perayaan yang disambut oleh warga negara bukan beragama Islam atau terlibat dalam upacara-upacara ibadah agama orang yang bukan Islam.

Menghadiri rumah terbuka yang diadakan oleh warga negara bukan Islam yang terdiri daripada rakan-rakan sekerja, rakan-rakan sepejabat, majikan dan sebagainya adalah harus dalam konteks Malaysia, kerana telah menjadi tradisi dan adat yang diamalkan oleh penduduknya dan tidak mengandungi unsur menyerupai orang bukan Islam, yang dilarang. Bukan sahaja warga negara bukan beragama Islam yang mengadakan rumah terbuka, bahkan juga diadakan oleh warga negara beragama Islam dalam perayaan mereka dan sudah biasa berlaku kunjung mengunjung pada hari tersebut tanpa mengira latar belakang agama dengan syarat-syarat yang telah digariskan pihak JAKIM di atas.

Inilah serba sedikit perkongsian yang diharapkan dapat membantu kita yang menghadapi dilema bagaimana untuk seimbangkan identiti diri sebagai Muslim Sama ada yang berbangsa Cina atau tidak,  serta kaedah terbaik berinteraksi dengan ahli keluarga yang masih belum Islam.

Diharapkan juga ini akan memudahkan umat Islam untuk menggunakan kesempatan Tahun Baru Cina untuk merapatkan ukhuwah dengan saudara dan rakan berbangsa Cina yang belum Islam dan inilah juga permulaan dakwah kita dengan mereka. Mereka juga akan merasa terpanggil untuk memenuhi undangan kita apabila tibanya Aidilfitri mahupun Aidil Adha.

Semoga Allah SWT memudahkan urusan kita dan memberikan kekuatan kepada kita bagi menyampaikan dakwah dan kalimah Islam kepada mereka yang belum mendapatkan hidayah Islam bersempena datangnya tahun baru Cina pada tahun ini. Aamiinn Yaa Robbal 'Aalamiin !!!!!

Wallahu A'lam.
Doakan istiqamah serta Sehat wal Afiat.
Wassalam USM. (Ustaz Sihabuddin Muhaemin).

No comments:

Post a Comment