Monday, February 23, 2015

CINTAKAN ULAMAK

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

HIMPUNAN MUZAKARAH BERSAMA (Ustaz Hj Kamil) Khamis, 29 Rabiulakhir 1436H. I LOVE U (ULAMA')

Emak masak cucur Adabi,
Rasanya disukai seisi rumah,
Ulama' adalah pewaris nabi,
Kehadirannya menjadi penyelamat ummah.

Hari ini adalah hari terakhir iaitu merupakan hari kelima tazkirah Khas Tribute kepada Almarhum Dato' Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat. Bagi Ustaz  adalah menjadi satu sifir yang mudah iaitu barangsiapa yang mencintai Allah hendaklah ia mencintai kekasih-Nya (Rasulullah SAW) dan barangsiapa mencintai Rasulullah SAW hendaklah ia mencintai para pewarisnya iaitu para alim ulama'. Khususnya Ulama' Rabbaniyyin...

CERAH-CERAHKAN:
Ulama' Rabbaniyyun ialah yang menyampaikan kebenaran kepada ummah. Ulama' yang bersifat khusyuk pada amalan, hudhu'  ilmunya dan zuhud pada dunia. Ulama' yang menjadi qudwatun hasanah iaitu contoh yang baik bagi orang lain, iaitu tidak sekadar menyeru atau mengajak orang melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan sedangkan dia sendiri atau ahli keluarga yang dibawah tanggungjawabnya diabaikan.

Ulama' yang tidak mengajar orang lain supaya taksub kepadanya, yang hidup seadanya walaupun namanya mengharum di pelusuk dunia. Tidak jatuh-menjatuhkan seperti ulama' temporari hari ini atau membiarkan para pengikut menjatuhkan ulama' lain untuk kepentingan dirinya. Sungguh pilu apa yang sedang berlaku hari ini, dalam jemaah yang mendokong dan bertunjangkan ulama' saling rendah-merendahkan dan saling aib-mengaibkan untuk kelihatan lebih ulama' dari ulama' yang lain.

Rasulullah SAW bersabda:
"Sesungguhnya ulama itu adalah pewaris para nabi. Para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Mereka hanya mewariskan ilmu. Maka barangsiapa yang mengambil (warisan ilmu) tersebut ia telah mengambil habuan yang paling sempurna." (HR: Imam Ahmad, At-Tirmizi, Abu Daud dan Ibnu Majjah)

Firman Allah SWT:

مَا كَانَ لِبَشَرٍ أَن يُؤْتِيَهُ اللَّهُ الْكِتَابَ وَالْحُكْمَ وَالنُّبُوَّةَ ثُمَّ يَقُولَ لِلنَّاسِ كُونُوا عِبَادًا لِّي مِن دُونِ اللَّهِ وَلَٰكِن كُونُوا رَبَّانِيِّينَ بِمَا كُنتُمْ تُعَلِّمُونَ الْكِتَابَ وَبِمَا كُنتُمْ تَدْرُسُونَ

"Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab ugama dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian ia tergamak mengatakan kepada orang ramai: "Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah". Tetapi (sepatutnya ia berkata): "Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyyin (yang hanya menyembah Allah dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya." (QS Ali-Imran : 79)

Para ulama' Rabbaniyyin berperanan untuk membimbing dan mendidik masyarakat serta menasihati pemerintah sedia ada sekiranya mereka tidak menjalankan amanah dan tugas seperti yang dikehendaki oleh Islam. Jika para ulama diam membisu dari menyampaikan ajaran Islam yang sebenar maka sudah pastilah sesebuah negara dan masyarakat Islam itu akan menjadi rosak binasa dan jauh dari rahmat Allah Taala.

Marilah kita menyayangi ulama' yang sebenar, iaitu Ulama' Rabbaniyyin yang menyampaikan ilmu pengetahuan dan menjadi contoh tauladan yang terbaik kepada manusia. Ilmu pengetahuan yang mereka perolehi itu mestilah disampaikan agar sekalian manusia terus terbimbing untuk melakukan kebaikan dan sentiasa mentaati perintah Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda lagi: Bukan termasuk umatku orang yang tidak memuliakan orang dewasa kami, menyayangi anak kecil kami dan menghormati ulama kami." (HR : Ahmad)

CHECKLIST:
1) Ulama' yang bersifat khusyuk pada amalan, hudhu' pada ilmunya dan zuhud pada dunia.
2) Sesungguhnya ulama itu adalah pewaris para nabi.
3) Ulama' Rabbaniyyin yang menyampaikan ilmu pengetahuan dan mampu menjadi contoh.

SIMPUL-SIMPULKAN:
Bukan ulama' namanya yang menyenaraikan nama-nama ulama' lain untuk dimusuhi atau diperlekehkan. Bukan ulama' namanya yang bertindak sewewenang sehingga menjejaskan nama baik jemaah mahupun nama baiknya sendiri. Bukan ulama' namanya yang menyangka dirinya lebih baik dari orang lain... Wallahu a'lam - Sangat berbeza sebenarnya antara ulama' dengan ularmak!

No comments:

Post a Comment