Saturday, May 30, 2015

Berbuat baik kepada binatang

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

P.I.P.I - HIMPUNAN MUZAKARAH BERSAMA (Ust Hj Kamil) Ahad, 7 Rejab 1436H. KUCING LAGI...

“Semua makhluk akan dikumpulkan di hari Kiamat termasuklah binatang, burung dan yang lain-lain. Keadilan Allah yang amat sempurna di mana kambing yang tidak bertanduk akan menerima pampasan / ganjaran dari kambing yang bertanduk. Allah akan mengarahkan mereka : Jadilah debu!. Maka berkatalah orang kafir : Alangkah baiknya kalau aku menjadi tanah (supaya aku tidak dibangkitkan untuk dihitung amalku dan menerima balasan)" (QS. An-Naba' : 40)

CERAH-CERAHKAN :
Berdasarkan ayat di atas, dapat difahami bahawa semua haiwan-haiwan ini termasuk kucing, di akhirat nanti mereka semua akan menjadi debu sahaja. Tidak ke syurga dan tidak pula ke neraka. Lalu, atas tujuan apa haiwan-haiwan ini dicipta oleh Allah SWT?

Sudah tentunya ada manfaatnya secara langsung atau tidak langsung kepada alam dan manusia. Khususnya untuk manusia sebagai khalifah Allah di atas bumi ini. Tidak mungkin  sia-sia sahaja Allah jadikan haiwan dan segalanya itu.

ربنا ما خلقت هذا باطلا

“Tuhan kami, tidaklah Engkau jadikan semua ini sia-sia.”

Mungkin kita semua tidak menyedari banyak faedah yang dapat diperolehi dengan membela dan menyayangi kucing-kucing ini. Jom kita sama-sama lihat manfaat membela kucing terhadap manusia :

1) Menurunkan Risiko Penyakit Kardiovaskular dan Serangan Jantung.  Satu kajian dari University of Minnesota mendapati bahawa mereka yang tidak mempunyai kucing adalah antara 30 dan 40 peratus lebih tinggi untuk meninggal dunia akibat penyakit yang membabitkan sistem kardiovaskular daripada mereka yang mempunyai kucing. Risiko untuk seorang pemilik kucing mati akibat serangan jantung juga adalah sangat rendah

2) Meningkatkan Fungsi Sistem Imun (daya tahan penyakit) Membela kucing dapat membantu meningkatkan fungsi kekebalan tubuh anda. Hubungan antara kucing dan pemilik kucing dapat meningkatkan sistem kekebalan tubuh seseorang pemilik kucing.

3) Mencegah Alahan. Jika kita mempunyai bayi, mungkin patut mempertimbangkan untuk membela kucing. Ini kerana membela kucing dapat membantu mencegah alahan alergi pada anak. Ada beberapa kajian yang baru lahir yang hidup dengan haiwan kesayangan dapat mengelakkan alahan berkembang.

4) Membantu Mencegah Asma Pada Anak. Terdapat bukti bahawa hidup dengan kucing juga boleh membantu mencegah asma pada anak-anak. Memiliki kucing pada usia awal anak kita dapat membantu mereka untuk mengelakkan risiko menghidap asma. Ini kerana sentuhan antara anak anda dengan kucing dapat mengatasi masalah pernafasan.

5) Mengurangkan Tekanan Darah. Percayakah anda dengan hanya dengan mengusap kucing dapat membantu menurunkan tekanan darah? Mereka yang mempunyai haiwan kesayangan, menurut kajian yang dilakukan oleh State University of New York di Buffalo, memiliki tekanan darah lebih rendah daripada mereka yang tidak mempunyai haiwan peliharaan.

6) Menurunkan Kolestrol. Berdasarkan kajian pemilik kucing memiliki kolestrol lebih rendah daripada mereka yang tidak mempunyai kucing sendiri. Sebuah penelitian 2006 di Kanada menunjukkan bahawa memiliki kucing sebenarnya lebih berkesan dalam menurunkan kolestrol daripada memakan ubatan kimia.

7) Mengurangkan Risiko Mendapat Strok. Prospek mempunyai stroke adalah menakutkan. Jika anda prihatin tentang mengalami serangan stroke, anda boleh mempertimbangkan untuk membela kucing. Memiliki kucing dapat mengurangkan risiko stroke. Sebuah kajian di Universiti Minnesota mendapati bahawa pemilik kucing dapat mengurangkan risiko mendapat stroke.

8) Mengurangkan Stress (Tekanan Perasaan) dan Rasa Cemas. Memiliki kucing boleh membantu mengurangkan tekanan dalam hidup kita. Berbicara dengan kucing, boleh membantu kita merasa lebih tenang dan mengurangkan tahap stres. Kehadiran seekor kucing bersama kita, dapat membantu menenangkan diri kerana kita menikmati cinta tanpa syarat dari seekor kucing.

9) Menjadikan Mood Dalam Keadaan 'Cool’. Berinteraksi dengan haiwan kesayangan boleh membantu memperbaiki mood kita. Ini termasuk kucing. Memiliki kucing dapat membantu meningkatkan mood kita menjadi lagi baik dan tenang.

10) Membantu Pesakit Autisme. Mereka dengan autisme mempunyai kesulitan berkomunikasi dalam cara yang sama seperti orang lain. Memiliki kucing benar-benar dapat membantu dalam kes ini, berperanan dalam terapi untuk anak- anak autis.

11) Mengurangkan Rasa Kesepian. Hubungan persahabatan antara manusia dan kucing dapat membantu mereka yang kesepian. Hanya dengan memiliki kucing di rumah dan menghabiskan masa bersama boleh bantu mengurangkan rasa kesepian tersebut.

Justeru, kehadiran kucing yang comel ini bukanlah sepatutnya dilayan sekadar untuk diambil manfaat di dunia sahaja. Iaitu hanya untuk menjadi teman bergembira atau bermanja sahaja, tetapi sepatutnya dilihat lebih luas dari itu. Ia adalah ujian Allah buat kita yang mana keputusan ujian tersebut hanya kita ketahui pada hari akhirat nanti.

Pada seekor kucing yang kita temui di jalanan atau yang kita pelihara ada ujian Allah untuk kita. Sama ada kita berbuat baik atau zalim padanya, semuanya akan dicatat. Dengan menyedari bahawa ia suatu ujian, maka lakukanlah kebaikan kepadanya. Antara perkara baik boleh kita lakukan ialah :

1. Menyantuninya dan memanjakannya.
2. Memberinya makan atau minum.
3. Menyediakan tempat tinggal.
4. Mengubatinya jika ia sakit atau hantar klinik.
5. Menolongnya jika ia terjatuh atau tersepit.
6. Menemukan dengan rakan atau keluarganya.

Para sahabat bertanya : “Wahai Rasulullah,  apakah kami akan mendapatkan pahala kerana binatang-binatang seperti ini?” Rasulullah SAW menjawab : “Pada setiap yang bernyawa (makhluk hidup) ada pahalanya.” (HR : Muslim)

Janganlah pula kucing tersebut menyebabkan kita mendapat dosa dengan menyepaknya, dengan mengherdiknya, dengan menipunya, dengan menderanya dan lain-lain yang boleh menyakiti hati dan tubuhnya.

SIMPUL-SIMPULKAN :
Haiwan-haiwan ini boleh menjadi sebab untuk kita beroleh pahala atau dosa. Manfaatkanlah kehadiran haiwan-haiwan ini untuk nasib yang baik pada hari akhirat nanti. Janganlah zalimi mereka. Tetapi, sayangilah mereka dan berlaku adillah.
Wallahu a'lam - Moga-moga ia memberatkan lagi catatan amal soleh kita di akhirat nanti, insya Allah.

No comments:

Post a Comment