Friday, January 23, 2015

SUNAT TAHAJJUD

SOLAT SUNAT TAJAJJUD.

Hendaklah kita berniat sebelum tidur bahawa akan melaksanakan sembahyang tahajjud. Sekiranya kita telah berniat namun kita gagal untuk terjaga dari tidur untuk mengerjakan sembahyang tahajjud, maka Allah Subhanahu wa Ta’ala tetap akan mengurniakan pahala sembahyang tahajjud tersebut.

Sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

مَا مِنْ امْرِئٍ تَكُونُ لَهُ صَلاَةٌ بِلَيْلٍ فَغَلَبَهُ عَلَيْهَا نَوْمٌ إِلاَّ كَتَبَ اللَّهُ لَهُ أَجْرَ صَلاَتِهِ
وَكَانَ نَوْمُهُ صَدَقَةً عَلَيْهِ.
Maksudnya:
Sesiapa yang (berniat) akan mengerjakan solat malam, lalu tertidur, Allah pasti menulis untuknya pahala solat malam dan tidurnya itu merupakan sedekah untuknya. - Hadis riwayat Imamal- Nasa’i dalam Sunannya, Kitab Qiyam al-Lail, no: 1763.

Cara Untuk Menghilangkan Mengantuk apabila terjaga dari tidur untuk melaksanakan sembahyang tahajjud,  hendaklah berusaha untuk menghilangkan perasaan mengantuk itu dengan bersugi atau menggosok gigi dan setelah itu mengucapkan zikir La ilaha illallahu wahdahu la syarikalah lahul mulku walahul hamdu wahuwa ‘ala kulli shayin qadir. alhamdulillah wa subhanallah wa la ilaha illallah wallahu akbar wa la haulawala quwwata illa billahi. Allahummaghfirli. 

Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

مَنْ تَعَارَّ مِنْ اللَّيْلِ فَقَالَ: لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ.
لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ.
الْحَمْدُ لِلَّهِ وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ.
ثُمَّ قَالَ: "اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي" أَوْ دَعَا اسْتُجِيبَ لَهُ فَإِنْ تَوَضَّأَ وَصَلَّى قُبِلَتْ صَلاَتُهُ.

Maksudnya:
Barangsiapa terbangun pada malam hari lalu mengucapkan: Tidak ada Tuhan yang disembah kecuali Allah semata, tiada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nya kerajaan dan untuk-Nya segala pujian, dan Dia berkuasa atas segala sesuatu. Segala puji bagi Allah, Maha Suci Allah, Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah, Allah Maha Besar. Dan tidak ada daya serta kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah. Kemudian diucapkan: “Ya Allah ampunilah aku” atau dia berdoa nescaya akan dimakbulkan untuknya. Apabila dia berwuduk nescaya diterima solatnya. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab at-Tahajjud, no: 1154.

Sembahyang Sunat Dua Rakaat Sebelum Mengerjakan Solat Tahajjud boleh menghilangkan ngantuk. Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
إِذَا قَامَ أَحَدُكُمْ مِنْ اللَّيْلِ فَلْيَفْتَتِحْ صَلاَتَهُ بِرَكْعَتَيْنِ خَفِيفَتَيْنِ.

Maksudnya:
Jika salah seorang dari kalian ingin melaksanakan solat malam, maka hendaklah dia memulai solat malamnya dengan mengerjakan (solat) dua rakaat dengan agak cepat. - Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab Sholaatil Musaafiriin wa Qashruhaa, no: 768.

Al-Hafidz Ibnu Hajar rahimahullah berkata: Al-Hafidz Abu al-Fadhl bin al-Husain menyebutkan dalam kitab Syarah al-Tirmidzi bahawa rahsia solat malam dimulai dengan dua rakaat yang ringan adalah untuk segera melepaskan ikatan syaitan. – Rujuk kitab al-Hafidz Ibnu Hajar al-’Asqalani, Fathul Baari jilid 6, ms. 273.

Pendapat di atas ini ada hubung-kaitnya dengan sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam:
يَعْقِدُ الشَّيْطَانُ عَلَى قَافِيَةِ رَأْسِ أَحَدِكُمْ إِذَا هُوَ نَامَ ثَلاَثَ عُقَدٍ.
يَضْرِبُ كُلَّ عُقْدَةٍ عَلَيْكَ لَيْلٌ طَوِيلٌ فَارْقُدْ. فَإِنْ اسْتَيْقَظَ فَذَكَرَ اللَّهَ انْحَلَّتْ عُقْدَةٌ.
فَإِنْ تَوَضَّأَ انْحَلَّتْ عُقْدَةٌ. فَإِنْ صَلَّى انْحَلَّتْ عُقْدَةٌ.
فَأَصْبَحَ نَشِيطًا طَيِّبَ النَّفْسِ وَإِلاَّ أَصْبَحَ خَبِيثَ النَّفْسِ كَسْلاَنَ.

Maksudnya:
Syaitan akan mengikat tengkuk salah seorang di antara kamu apabila kamu tidur dengan tiga ikatan. Ia menepukkan pada setiap ikatan; bagimu malam yang panjang maka tidurlah. Apabila kamu bangun dan berzikir kepada Allah maka terbukalah satu ikatan. Apabila kamu berwuduk maka terbuka pula satu ikatan. Apabila kamu bersolat terbukalah satu ikatan. Maka di pagi hari kamu akan bersemangat dan merasa segar. Jika tidak nescaya di pagi hari perasaannya buruk dan malas. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari
dalam ShahihKitab at-Tahajjud, no: 1142.

Dari hadis ini dapat kita simpulkan bahawa ikatan ketiga itu hanya dapat dilepaskan setelah kita melakukan solat yang sempurna. Oleh itu solat dua rakaat sebelum solat Tahajjud memainkan peranan tersebut. Setelah itu dapatlah kita mengerjakan solat Tahhajud dengan penuh semangat dan kesegaran. Wallahu’alam. Semoga bermunafaat..

No comments:

Post a Comment